3 Pemegang Saham Maika Holdings Fail Saman, Dakwa RM144j Lesap

Syarikat itu ditubuhkan MIC pada 1983 berjaya mengumpulkan RM106 juta daripada kira-kira 66,400 anggota masyarakat India, yang rata-ratanya golongan berpendapatan rendah.

Tiga pemegang saham Maika Holdings Bhd memfailkan saman di mahkamah berhubung dakwaan kehilangan dana berjumlah RM144 juta yang sepatutnya diagihkan kepada lebih 66,400 pemegang saham syarikat.

Dalam satu sidang media hari ini, P Punithan, Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC yang turut bertindak sebagai koordinator bagi pihak pemegang saham mengesahkan bahawa tiga pemegang saham tersebut memfailkan satu kes saman pada 19 April di Mahkamah Tinggi (Dagang) Kuala Lumpur terhadap pemegang saham yang minoriti.

“Saya sebagai koordinator dalam kes ini mengesahkan bahawa tiga pemegang saham Maika Holdings yang masih tidak menjual saham mereka memfailkan kes terhadap Maika Holdings dan lima defedan yang lain.

“Tujuan kami adalah untuk ingin mengetahui kehilangan misteri beratus juta yang sepatutnya diagihkan kepada pemegang saham Maika Holdings,” katanya kepada pemberita di Hotel Dynasty, pagi tadi.

Turut hadir, tiga pemegang saham yang juga plantif dalam kes ini SM Muthu, V Elango dan R Alameloo bersama peguamnya V Murali dan David Gurupatham.