KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) — David Gurupatham & Koay (DGK) mencipta sejarah sebagai firma guaman pertama Malaysia beroperasi di tanah besar China dengan pembukaan pejabat baharu di Jinan, wilayah Shandong.
Pengasas bersama dan Pengarah Urusan DGK Datuk David Gurupatham dalam kenyataan berkata firma itu menyasarkan untuk menyokong syarikat Malaysia yang mencari peluang perniagaan di China serta membantu syarikat China yang ingin melabur di Malaysia.
Beliau berkata Malaysia dan China selama berabad telah mengekalkan hubungan perdagangan dan kebudayaan yang kukuh, dengan China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut yang menyaksikan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencecah AS$190.24 bilion (RM840 bilion).
bootstrap slideshow
David juga yakin kedua-dua negara bersedia untuk pertumbuhan dalam sektor seperti pembuatan peringkat tinggi, inisiatif ekonomi digital dan projek pembangunan hijau di samping peningkatan aktiviti pelancongan dan pertukaran budaya yang mengukuhkan lagi hubungan antara rakyat kedua-duanya.
Sementara itu, rakan kongsi kanan DGK Koay Eng Hooi dalam kenyataan sama berkata: “DGK Jinan merupakan firma guaman Malaysia pertama yang dibuka di tanah besar China (tidak termasuk zon ekonomi khas), ia mewakili satu kejayaan besar bagi firma guaman tempatan yang diasaskan lebih 20 tahun lepas. Kami teruja untuk menawarkan perkhidmatan kami kepada pelanggan di China.”
Skop perkhidmatan ditawarkan DGK Jinan termasuk undang-undang korporat dan komersial, perbankan dan kewangan, pembinaan dan hartanah, harta intelek, penyelesaian pertikaian, timbang tara antarabangsa, undang-undang pekerjaan dan undang-undang keluarga.
Majlis perasmian DGK Jinan telah diadakan pada 18 Feb bersempena Forum Pertukaran Undang-Undang dan Perniagaan Rentas Sempadan (Legal & Cross Border Business Exchange Forum).
Pejabat berkeluasan 1,500 kaki persegi itu terletak di tingkat 11 Bangunan Insurans Hayat China di Daerah Lixia dan telah beroperasi susulan kebenaran rasmi daripada Jabatan Kehakiman China pada Mei 2024.
— BERNAMA
Sources by: Click Here