Nora Danish Ambil Tindakan Pihak Manipulasi Isu Cukai Pendapatan

PETALING JAYA: Aktres Nora Danish terpaksa mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang telah memanipulasikan kenyataannya berhubung isu pengecualian cukai pendapatan selepas ia dilaporkan sebuah akhbar sehingga mendapat liputan media antarabangsa.

Nora, 34, dalam kenyataannya kepada mStar Online malam Jumaat berkata, tindakan itu terpaksa diambil selepas berlakunya fitnah apabila kenyataan asalnya di akhbar Utusan Malaysia pada awal November lalu telah dimanipulasikan oleh blog dan portal tempatan.

 

“Pada 3 November 2016, saya telah ditemubual oleh Utusan Malaysia. Kenyataan yang telah saya beri dalam temubual tersebut telah disalah tafsir dan dimanipulasi oleh beberapa organisasi media dan portal online.

 

“Sesi temubual tersebut dan kenyataan-kenyataan saya telah diambil luar daripada konteks dan telah disensasikan oleh beberapa akhbar, blog dan pelbagai media secara amnya, termasuk dan tidak terhad kepada tajuk laporan seperti Nora Danish Memohon Agar Artis Diberikan Pengecualian Cukai Untuk Kelihatan Cantik,” katanya.

 

Terdahulu, Nora dalam kenyataannya dalam akhbar Utusan Malaysia telah memberi pendapat agar golongan artis diberi seidkit pengecualian cukai pendapatan khususnya untuk membeli keperluan berkaitan imej.

 

Bagaimanapun beberapa blog tempatan telah mensensasikan isu itu dengan menuduh kononnya Nora mahu mengelak daripada membayar cukai sedangkan pelakon itu mendakwa dia tidak pernah gagal melaksanakan tanggungajawab berkenaan.

 

Dalam pada itu Nora berkata, respons kepada manipualsi dibuat bolg itu bersifat sangat memalukan, mengelirukan dan palsu sehingga mendapat liputan luas media antarabangsa.

 

“Saya tidak pernah menyatakan perlunya pengecualian cukai kepada golongan artis. Saya cuma memberi komen tentang penolakan di bawah S.39 Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya.

 

Tambah beliau, akibat manipulasi itu, kehidupan peribadi, hubungan dengan pihak ketiga yang tiada kena mengena dengan isu ini serta perniagaannya telah menerima kesan kebencian, menimbulkan skandal dan menerima penghinaan seterusnya menjejaskan kariernya.

 

“Disebabkan keadaan ini saya tiada pilihan selain melantik Tetuan David Gurupatham & Koay sebagai peguam saya bagi mengambil tindakan undang-undang serta merta kepada pihak yang telah menyebabkan fitnah sedemikian,” katanya.

 

Dalam perkembangan sama, Presiden, Persatuan Seniman Malaysia iaitu Zed Zaidi berkata golongan artis sememangnya mendapat pengecualian cukai berkaitan penjagaan imej namun mereka perlu menyimpan resit pembelian bagi tujuan semakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri.-mstar

Source from: https://peraktoday.com.my/2016/11/nora-danish-ambil-tindakan-pihak-manipulasi-isu-cukai-pendapatan/